Tuesday, 21 February 2017
Thursday, 3 November 2016
Surah Al Baqara Ayat 30-37.
Surah Al-Baqara
Dan
(ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: Sesungguhnya Aku
hendak menjadikan seorang khalifah di bumi. Mereka bertanya (tentang
hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): Adakah Engkau (Ya Tuhan
kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan
menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih
dengan memujiMu dan mensucikanMu?. Tuhan berfirman: Sesungguhnya Aku
mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya. (30) Dan
Dia telah mengajarkan Nabi Adam, akan segala nama benda-benda dan
gunanya, kemudian ditunjukkannya kepada malaikat lalu Dia berfirman:
Terangkanlah kepadaKu nama benda-benda ini semuanya jika kamu golongan
yang benar. (31) Malaikat
itu menjawab: Maha suci Engkau (Ya Allah)! Kami tidak mempunyai
pengetahuan selain dari apa yang Engkau ajarkan kepada kami;
sesungguhnya Engkau jualah Yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
(32) Allah
berfirman: Wahai Adam! Terangkanlah nama benda-benda ini semua kepada
mereka. Maka setelah Nabi Adam menerangkan nama benda-benda itu kepada
mereka, Allah berfirman: Bukankah Aku telah katakan kepada kamu,
bahawasanya Aku mengetahui segala rahsia langit dan bumi dan Aku
mengetahui apa yang kamu nyatakan dan apa yang kamu sembunyikan?. (33) Dan
(ingatlah) ketika kami berfirman kepada malaikat: Tunduklah (beri
hormat) kepada Nabi Adam. Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat
melainkan Iblis; dia enggan dan takbur dan menjadilah dia dari golongan
yang kafir. (34) Dan
kami berfirman: Wahai Adam! Tinggallah engkau dan isterimu dalam Syurga
dan makanlah dari makanannya sepuas-puasnya apa sahaja kamu berdua
sukai dan janganlah kamu hampiri pokok ini; (jika kamu menghampirinya)
maka akan menjadilah kamu dari golongan orang-orang yang zalim. (35) Setelah
itu maka Syaitan menggelincirkan mereka berdua dari Syurga itu dan
menyebabkan mereka dikeluarkan dari nikmat yang mereka telah berada di
dalamnya dan Kami berfirman: Turunlah kamu! Sebahagian dari kamu menjadi
musuh kepada sebahagian yang lain dan bagi kamu semua disediakan tempat
kediaman di bumi, serta mendapat kesenangan hingga ke suatu masa
(mati). (36) Kemudian
Nabi Adam menerima dari Tuhannya beberapa kalimah (kata-kata pengakuan
taubat yang diamalkannya), lalu Allah menerima taubatnya; sesungguhnya
Allah, Dialah Yang Maha Pengampun (Penerima taubat), lagi Maha
Mengasihani. (37)
Surah Al Baqarah Ayat 25-29.
Surah Al-Baqara
Dan
berilah khabar gembira kepada orang-orang yang beriman dan beramal
soleh, sesungguhnya mereka beroleh Syurga yang mengalir di bawahnya
beberapa sungai; tiap-tiap kali mereka diberikan satu pemberian dari
sejenis buah-buahan Syurga itu, mereka berkata: Inilah yang telah
diberikan kepada kami dahulu dan mereka diberikan rezeki itu yang sama
rupanya (tetapi berlainan hakikatnya) dan disediakan untuk mereka dalam
Syurga itu pasangan-pasangan, isteri-isteri yang sentiasa bersih suci,
sedang mereka pula kekal di dalamnya selama-lamanya. (25) Sesungguhnya
Allah tidak malu membuat perbandingan apa sahaja, (seperti) nyamuk
hingga ke suatu yang lebih daripadanya (kerana perbuatan itu ada
hikmatnya), iaitu kalau orang-orang yang beriman maka mereka akan
mengetahui bahawa perbandingan itu benar dari Tuhan mereka dan kalau
orang-orang kafir pula maka mereka akan berkata: Apakah maksud Allah
membuat perbandingan dengan benda ini? (Jawabnya): Tuhan akan menjadikan
ramai orang sesat dengan sebab perbandingan itu dan akan menjadikan
ramai orang mendapat petunjuk dengan sebabnya dan Tuhan tidak akan
menjadikan sesat dengan sebab perbandingan itu melainkan orang-orang
yang fasik. (26) (Iaitu)
orang-orang yang merombak (mencabuli) perjanjian Allah sesudah
diperteguhkannya dan memutuskan perkara yang disuruh Allah supaya
diperhubungkan dan mereka pula membuat kerosakan dan bencana di muka
bumi. Mereka itu ialah orang-orang yang rugi. (27) Bagaimana
kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati
(belum lahir), kemudian Dia menghidupkan kamu; setelah itu Dia mematikan
kamu, kemudian Dia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat kelak);
akhirnya kamu dikembalikan kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala
yang kamu kerjakan). (28) Dialah
(Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi, kemudian
Dia menuju dengan kehendakNya ke arah (bahan-bahan) langit, lalu
dijadikannya tujuh langit dengan sempurna dan Dia Maha Mengetahui akan
tiap-tiap sesuatu. (29)
Thursday, 20 October 2016
Subscribe to:
Posts (Atom)